Tuesday 3 April 2012

Dakwah melalui jaringan maklumat antarabangsa (Internet)


Firman Allah S.W.T. dalam surah Fussilat, ayat 33, “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata : Sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman”.

Berdasarkan ayat Al-Quraan diatas, menunjukkan kewajipan bagi setiap umat Islam mengajak kearah kebaikan. As- Sayyid Naufal menjelaskan bahawa baginya tidak ada halangan untuk dikatakan bahawa hukum dakwah itu kedua-dua sekali fardhu ain dan fardhu kifayah. Dakwah itu fardhu ain kerana setiap orang Islam diwajibkan menjelaskan dan mengemukakan kepada orang yang masih jahil tentang pengajaran asas dalam Islam yang menjadi fardhu ain kepada setiap orang Islam. Kerana orang yang jahil tentang Islam ada di mana-mana. Di samping itu, ia juga menjadi fardhu kifayah kerana keperluan menyediakan golongan tertentu di kalangan orang Islam untuk lebih dipertanggungjawabkan ke atas mereka dalam urusan dakwah.


Islam tidak menghadkan pendakwah untuk menggunakan kaedah tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan pelbagai medium terbaik sesuai pada sesuatu zaman dan tempat. Dakwah melalui jaringan maklumat antarabangsa (internet) mempunyai potensi yang besar. Antara contoh jaringan maklumat antarabangsa adalah muka buku, laman blog, laman web, borak siber, klip video dan sebagainya.

Berdakwah melalui jaringan maklumat mempunyai pelbagai manfaat. Antaranya ialah pendakwah dapat menyampaikan dakwah kepada penerima dakwah (mad’u) dengan menembusi ruang dan waktu dalam masa yang singkat dengan murah dan berkesan. Penerima dakwah daripada setiap pelusuk dunia juga dapat menterjemahkan maklumat dengan mudah kerana adanya teknologi internet. Selain itu, internet mempunyai sasaran yang lebih luas kerana internet selaku perpustakaan terbesar dunia sendiri boleh bertindak mencari jawapan kepada persoalan pelayarnya terutama berkaitan isu-isu agama. Tambahan pula, Informasi yang sampai kepada audien dengan lebih pantas dan interaksi dua hala tidak terganggu dengan sifat pemalu atau takut. Pendakwah juga boleh memilih bentuk laman web yang disukai oleh orang ramai dalam menyalurkan bahan-bahan dakwah dengan lebih mudah dan dapat disampaikan kepada penerima dakwah dengan lebih mudah.


Oleh itu, umat Islam perlu menfaatkan masanya dengan baik terutama semasa melayari internet supaya masa yang ada tidak digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah. Pendakwah perlulah memasuki laman web yang mana memberi faedah kepada diri serta agama dan menjauhkan diri daripada memasuki laman web yang menyesatkan akidah umat islam

Tintaku Srikandi : Kesimpulannya, dakwah melalui internet dan secara maya mempunyai potensi yang besar. Seharusnya semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri yang sentiasa dikemas kini. Isu-isu dan persoalan ummah kontemporari hendaklah dijawab serta digarap secepat mungkin melalui medium ini. Jika ini dilakukan secara giat dan tersusun, nescaya aktiviti dakwah semakin efisien dan meluas ke serata dunia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...